Oh 1 Pintar........

Salam... hari ini cikgu nak cerita tentang anak murid cikgu di Tingkatan 1 Pintar. Kelas 1 pintar ni merupakan kelas yang paling akhir (kelas kelima), dengan kata lainnya murid-muridnya lemah dalam pelajaran, kurang menguasai 3M, sering mengantuk, ada yang terlalu aktif tak boleh duduk diam, suka menyakat rakan-rakan, bercakap dengan kuat, sukar mematuhi arahan dan tumpuan mereka kepada apa yang cikgu ajar hanya lebih kurang 10 minit sahaja. Pendek kata boleh pening kepala dan naik darah cikgu dibuatnya. Mereka seramai 32 orang, kebanyakannya berbangsa melayu dan sebilangan kecil orang asli (semuanya datang dari keluarga yang taraf sosio ekonominya rendah).

Walaupun begitu, sejak cikgu diarahkan untuk mengajar Geografi di kelas ni pada awal tahun... cikgu cuba sedaya upaya agar mereka meminati subjek ini. Dari bulan Jan - Mac, cikgu cuba memahami tingkah laku mereka, apa sarapan mereka setiap hari, hobi mereka dan sebagainya. Cikgu juga cuba menguasai loghat mereka kerana ada yang menggunakan loghat utara, loghat Pahang, loghat Terengganu dan loghat kaum asli Jakun. Seronok jugak cikgu apabila mereka gelakkan cikgu apabila sekali sekala cikgu cuba menggunakan loghat mereka yang tak berapa nak jadi...

Cikgu bersyukur kerana berhadapan dengan pelajar sebegini kerana mereka membuatkan cikgu terpaksa belajar dan membaca semula buku-buku psikologi pendidikan, memahami semula teori kecerdasan pelbagai, teknik dan kaedah P & P, buku-buku motivasi dan sebagainya. Selepas pemerhatian selama 3 bulan, cikgu dapati setiap kali apabila diarahkan menjawab latihan dalam kertas lembaran, mereka kerap menyanyi lagu-lagu popular masa kini dengan kuat sambil menjawab (seronok dan terhibur jugak cikgu). Lantas cikgu bertanya lagu-lagu kegemaran mereka. Murid perempuan lebih suka kepada lagu yang berirama sentimental manakala murid lelaki sebaliknya yang lebih rancak. Dari situ timbul idea cikgu untuk menukar lirik lagu yang disukai mereka kepada fakta-fakta yang ada dalam setiap topik Geografi cikgu.

Dalam masa 2 minggu, cikgu mula memuat turun lagu-lagu kegemaran mereka melalui 4shared dan cikgu cuba menjadi penulis lirik dengan merujuk buku teks dan buku rujukan..susah juga rupanya nak menulis lirik berdasarkan lagu-lagu berkenaan... tapi cikgu cuba juga...ye la...hendak seribu daya. Maka lahirlah lagu pertama iaitu lagu Oh Malaysia (menceritakan kedudukan dan keistimewaan Malaysia - permulaan bab 6) menggunakan lagu Yang Wali band (lagu yang disukai oleh murid lelaki cikgu) dan Lagu kedua Mendaki ke Gunung (lagu menatap matamu - Aril, kesukaan murid perempuan) menceritakan tentang banjaran dan gunung di Malaysia. Lirik lagu tu cikgu selitkan juga nilai-nilai murni yang bersesuaian.

Alhamdulillah, cikgu rasa seronok apabila murid-murid cikgu sungguh bersemangat belajar pada hari Jumaat lepas dalam makmal komputer. Mereka menyanyi dengan sungguh kuat dan dapat mengikut rentak lagu instrumental dengan mudah sekali. Selama 80 minit mereka mengulang lagu yang berkenaan dan cikgu telah mengarahkan mereka untuk menghafal lirik mereka itu di rumah...

Hari ini cikgu rasa usaha cikgu berbaloi jugak apabila masuk ke kelas dan menyoal mereka apa keistimewaan dan di mana kedudukan Malaysia, mereka dengan mudah menjawab sambil bernyanyi riang. Mereka juga bertanya cikgu bila lagi nak masuk makmal komputer (nak menyanyi la tu). Perasaan cikgu amat terharu, gembira kerana nampaknya mereka dah mula berminat untuk belajar Geografi dan mula patuh pada arahan... 

Terima kasih murid-murid cikgu di Tingkatan 1 Pintar kerana mengajar cikgu menjadi lebih kreatif , lebih perihatin dan menggerakkan semula cikgu untuk membeli lebih banyak buku-buku yang berguna dalam kerjaya cikgu. Terima kasih juga kepada Along dan abang cik (anak cikgu Tahun 6) kerana menolong cikgu memuat turun dan mencari lirik asal lagu-lagu popular masa kini... maklum la lagu-lagu kegemaran cikgu ialah lagu-lagu tahun 70 an dan 80 an...mana sesuai dengan bebudak zaman sekarang.

Apasal Zali...pen sampai 2 batang di tangan...
jangan conteng buku dah le...

Tekun nampaknya.....harap-harap diteruskan...

0 Response to "Oh 1 Pintar........"

Post a Comment