Jom cikgu....kita `ziarah cakna'.....

Assalamualaikum.....


Alhamdulillah pagi ini selepas ops ponteng dijalankan, cikgu terus berada di pejabat...hajatnya hendak menyemak buku latihan murid tingkatan 1 Mahir yang dah tiga hari tidak terusik di atas meja...kebetulan pulak hari Rabu jadual cikgu free.

Baru saja nak semak sebuah buku, datang pulak Zahid (pengawas sekolah) sedang mengendong Suhaimi dari tingkatan 1 Kreatif yang menangis kesakitan sambil ditemani oleh rakan sekelas Suhaimi iaitu Sobri.  Menurut kata Suhaimi, pehanya terkena kerusi kayu yang disepak oleh salah seorang rakan dalam kelasnya.  Cikgu pun apa lagi terus mengarahkan Sobri memanggil murid yang berkenaan sementara Kak Sah (PAR) tolong menyapu minyak angin ke peha Suhaimi.  Dalam masa yang sama cikgu terus menelefon Ustazah Faidah (guru yang bertugas minggu ini) untuk membawa murid berkenaan ke klinik kerajaan berdekatan.

Beberapa minit kemudian, muncul Fairuz dan Sobri..cikgu pun apa lagi..terus menyoal siasat Fairuz tentang apa sebenarnya yang berlaku...katanya kejadian berlaku semasa waktu pertukaran guru...saja-saja hendak bergurau.  Bergurau apa bendanya kalau sampai kerusi pun boleh terbang....geram jugak cikgu dibuatnya.  Cikgu memang kenal sangat dengan Fairuz dan Suhaimi ni kerana cikgu memang mengajar di kelas mereka.  Fairuz memang murid yang agak nakal di kelasnya tetapi lebih cerdik berbanding Suhaimi yang agak pendiam dan lebih mendengar kata.

Selepas memberi amaran keras kepada Fairuz, Ustazah Faidah pun sampai di pejabat bersama Cikgu Rosdin untuk membawa Suhaimi ke klinik. Lebih kurang sejam kemudian, Ustazah Faidah datang semula ke bilik cikgu memberitahu ingin menghantar Suhaimi balik ke rumah kerana telah mendapat cuti sakit selama 4 hari.  Cikgu pun memohon untuk ikut sama ke rumah Suhaimi memandangkan hari Rabu memang cikgu telah peruntukkan masa untuk menziarah ke rumah murid-murid yang bermasalah samada dari segi disiplin, ponteng, masalah kewangan dan sebagainya.

Perjalanan ke rumah Suhaimi mengambil masa lebih kurang setengah jam dengan melalui jalan yang sempit, berlopak-lopak ditakungi air dan di kiri kanan jalan ialah belukar dan pokok-pokok kelapa sawit.  Cikgu simpati jugak dengan Ustazah Faidah kerana kereta Toyota Viosnya baru saja tiga hari dicuci bersih. Tapi apa kan daya itulah antara tugas seorang guru yang kadang kala tidak difahami oleh orang-orang di luar sana....

Menurut Suhaimi, murid-murid yang tinggal di kampung tersebut terpaksa bangun seawal 4.30 pagi untuk ke sekolah kerana bimbang ditinggal oleh bas.  Mereka keluar ke jalan besar dengan dihantar oleh keluarga dengan menaiki motosikal.  Kadang kala jika motor rosak..mereka tidak akan ke sekolah.

Cikgu dan Ustazah Faidah amat terkejut apabila sampai di kampung Suhaimi.  Kampung tersebut hanya didiami lebih kurang 10 buah rumah yang berdindingkan atap nipah dan berlantaikan batang nibung dan buluh (seingat cikgu rumah sebegini hanya wujud di tahun 50 an dan 60 an sahaja).  Ketibaan cikgu betul-betul di halaman rumah Suhaimi disambut oleh keluarga dan penduduk kampung.  Di situ cikgu ternampak Amran (berkaki ayam), Sidik dan Suhaimi Musa (murid cikgu dari kelas 1 Pintar).  Cikgu pun terus menyapa mereka dan tak sanggup lagi nak menyoal mereka kenapa ponteng sekolah pada hari ini.  Perasaan sebak, sedih dan terkejut bercampur aduk dalam diri cikgu memandangkan kedaifan hidup mereka.

Perasaan cikgu dikongsi bersama Ustazah Faidah dan Cikgu Rosdin (turut bersama kami ke rumah Suhaimi). Sebaik sahaja kembali  ke sekolah...tanpa berlengah, cikgu terus bercerita kepada Pengetua tentang keadaan murid-murid cikgu di kampung tersebut.  Yang pasti...selepas ini mungkin ada sedikit timbang rasa dan tolak ansur apabila cikgu menjalankan hukuman dalam ops ponteng di sekolah cikgu. 

0 Response to "Jom cikgu....kita `ziarah cakna'....."

Post a Comment