Aduhai ....muridku AF

SALAM MESRA.....

Rabu lepas, cikgu didatangi oleh seorang ibu yang sangat prihatin tentang anaknya AF. AF dah hampir sebulan tak hadir ke sekolah...hampir satu jam cikgu mendengar keluhan hati dan harapan beliau terhadap anaknya. Beliau juga menceritakan kesukaran yang dihadapinya semasa anak beliau masih kecil (sering sakit). Cikgu merasa terharu dan sebak apabila ibu tadi bercerita sambil menangis dan sesekali mengesat air mata dengan sapu tangannya. AF berada di dalam kelas 2 Pintar dan mengalami masalah pembelajaran dan telah disahkan sebagai OKU...Menurutnya anaknya dah mula tidak suka hadir ke sekolah kerana selalu dimarahi dan didenda oleh guru kerana tak siap kerja rumah dan sebagainya.

Sebenarnya cikgu tak salahkan cikgu-cikgu lain yang selalu mendenda anak beliau tapi cikgu salahkan diri cikgu kerana lupa nak beritahu cikgu-cikgu baru yang mengajar di kelas tersebut tentang masalah anaknya itu. Sebagai guru yang bertanggungjawab dalam hal ehwal murid, cikgu merasakan bahawa masalah tersebut terletak di bahu cikgu. Lantas tanpa berfikir panjang, cikgu pun mengajak cikgu Nik (Guru Bimbingan dan Kaunseling) untuk sama-sama kerumah AF bersama ibunya dengan tujuan untuk memujuk AF agar hadir ke sekolah seperti biasa.

Perjalanan ke rumah AF mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja dengan kereta cikgu. Sesampainya di rumah yang terletak di penghujung jalan ke bendang...cikgu dipelawa masuk dengan ramahnya oleh abang AF yang juga seorang OKU. AF hanya berbaring di atas katil dan tak mahu keluar berjumpa dengan cikgu dan cikgu Nik walaupun puas dipujuk oleh ibunya. Lama jugak lah cikgu berborak dengan ibu AF sambil dihidangkan dengan air teh O panas.

Setelah hampir setengah jam, AF tak mahu jugak keluar dari biliknya...lantas sebelum balik, cikgu pun terus menuju ke pintu biliknya dan sekadar berbicara menghadap belakang badan murid cikgu tu (AF berbaring sambil meniarap dan menutup mukanya). Cikgu memberi nasihat sekadar termampu dengan harapan hari esok AF akan hadir ke sekolah. Respon daripada AF hanya gerakan tangannya sahaja. Bimbang jugak cikgu nak berlebih-lebih... nanti dibalingnya bantal ke muka cikgu...baru padan muka...

Apabila tak ada respon dari AF, cikgu dan cikgu Nik pun balik semula ke sekolah dengan penuh harapan AF akan muncul di sekolah pada hari esoknya. Namun sehingga hari ini...AF tidak muncul-muncul lagi ke sekolah......apa lagi yang harus cikgu buat....cikgu dah mula bingung....

0 Response to "Aduhai ....muridku AF"

Post a Comment